CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

KURSUS KAEDAH PENGAJARAN SEJARAH SESI 2009/2010

Selamat Datang Ke Kursus LSP4023– Kaedah Pengajaran Sejarah merupakan satu pendekatan penting dalam melahirkan bakal guru sejarah yang kreatif dan berketrampilan .kursus-kursus yang diharapkan akan menjadikan anda:Guru sejarah yang juga seorang sejarahwan dan berfikir sebahagai ahli sejarah dan mengaplikasikan kemahiran sejarah kepada pelajar sejarah.
SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA GURU DAN BAKAL GURU SENSEI NO HI ..GAMBATTE KU DASAI JA NE


Friday, May 8, 2009

SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA



SISTEM PENDIDIKAN TERDAHULU

1. Pendidikan secara tidak rasmi
2. Pendidikan rasmi contoh : pondok
3. Pendidikan Vernakular berasaskan kaum
4. Pendidikan Vernakular Barat
5. Pendidikan Zaman Jepun

Matlamatnya

1. Meneruskan warisan tradisi
2. Tenaga kerja rendah
3. Keperluan akhirat
4. Berorientasikan negara masing-masing
5. Sekadar menguasai asas 3M
6. Tiada perpaduan
7. Tidak berbentuk kebangsaan




KEMUNCULAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA DAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Keperluan untuk menyatakan FPN secara tersurat telah lama disedari. Oleh itu langkah untuk menggubal FPN yang menjadi cermin dan cita-cita serta idealisme yang hendak diperjuangkan oleh rakyat negara ini melalui sistem pendidikan memang dinanti-nantikan. Dalam penggubalannya pertimbangan yang teliti perlu dihalusi dengan merujuk kepada perkara-perkara berikut :
1. Penyata Razak 1956
2. Laporan Rahman Talib 1960
3. Akta Pelajaran 1961
4. Laporan JK Kabinet 1974
5. Laporan JK Kabinet 1979
6. Rukunegara
7. Prinsip-prinsip pendidikan
8. Matlamat pendidikan
9. Dasar Pendidikan Kebangsaan



Perakuan 191, Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979. Perakuan 191 menegaskan :

“ Pendidikan di negara ini adalah untuk mencapai perkembangan murid yang menyeluruh, iaitu perkembangan yang meliputi aspek kognitif atau intelek, jasmani, sosial, emosi, sikap dan nilai-nilai etika pada murid-murid dan generasi akan datang. “

Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, dibentuk adalah hasil daripada maklum balas dan laporan daripada Jawatankuasa Kabinet tahun 1974.

Pembentukan Jawatankuasa Kabinet tahun 1974, adalah kerana berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, pembentukan Rukunegara, 1970 dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru, 1970. Peristiwa-peristiwa tersebut, telah mendorong kerajaan mengkaji semula dasar pendidikan kebangsaan sebelum ini yang kurang menitikberatkan perpaduan negara dan memajukan aspek sosial, ekonomi dan politik untuk membangunkan bangsa dan negara.

Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, yang menitikberatkan aspek nilai hanya diistiharkan pada tahun 1998 dan dijelmakan secara rasmi melalui Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988.

Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996 (Kementerian Pendidikan, 1999).
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, berbunyi :
“ Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruhdan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. “

Selain itu, Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979 juga, telah menetapkan secara tersurat dan tersirat penentuan wajah dan jenis warganegara Malaysia yang perlu dibentuk melalui sistem pendidikan di Malaysia. Keperihatinan dan hasrat Jawatankuasa tersebut dirakamkan seperti berikut :
“ Mereka bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahu pun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca akhlak yang mulia. Tegasnya individu yang lahir dari sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan. “

Ringkasnya, berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, peranan pendidikan tidak lagi hanya ditumpukan kepada perpaduan negara dan pengeluaran sumber tenaga manusia, tetapi pendidikan turut ditumpukan kepada pembentukan keperibadian insan selaras dengan pembangunan kemanusiaan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, telah menetapkan matlamat pendidikan negara dengan jelas, iaitu pendidikan ke arah melahirkan insan, masyarakat dan warganegara yang baik. Pada asasnya, insan baik yang hendak dilahirkan itu perlu memiliki yang ciri-ciri berikut :

1. Percaya dan patuh kepada tuhan.
2. Berilmu pengetahuan dan berketrampilan.
3. Berakhlak mulia.
4. Bertanggung jawab kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
5. Berbakti dan bersedia memberi sumbangan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Dalam usaha mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996 dan matlamat pendidikan negara, nilai-nilai murni tidak dapat dilakukan tanpa mengasas, membina dan mengembangkannya melalui sistem pendidikan. Oleh yang demikian tindakan pada peringkat pelaksanaan, hendaklah ditegaskan. Dalam konteks sistem pendidikan kita, nilai-nilai yang dimaksudkan ialah nilai-nilai yang luhur dan murni. Unsur-unsur nilai murni yang dimaksudkan itu ialah nilai-nilai murni yang bersifat tetap dan kudus yang diamalkan oleh semua agama dan bersifat sarwajagat (universal). Nilai-nilai murni tersebut adalah berasaskan pandangan dan maklum balas yang diperolehi dan diputuskan oleh Jawatankuasa Pendidikan Akhlak tahun 1976, yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama.

Nilai-nilai murni tersebut ialah :

1. Baik hati.
2. Berdikari.
3. Hemah Tinggi.
4. Hormat Menghormati.
5. Kasih Sayang.
6. Keadilan.
7. Kebebasan.
8. Keberanian.
9. Kebersihan Fizikal dan Mental.
10. Kejujuran.
11. Kerajinan.
12. Kerjasama.
13. Kesederhanaan.
14. Kesyukuran.
15. Rasional.
16. Semangat Bermasyarakat.

Penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran disokong oleh R. W. Taylor yang menurutnya, nilai murni ini tidak dapat dipisahkan melalui pendidikan. (Dr. Wan Mohd Zaid bin Wan Mohd Noordin, 1993, dalam Wawasan Pendidikan). Taylor berpendapat :

“ Education is an arena which all realms of values may be concern “

Bersabit dengan pendidikan dan nilai-nilai murni, Dr. Wan Mohd Zaid bin Wan Mohd Noordin, 1988, ketika menjadi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, semasa membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Ke arah Perlaksanaan Nilai-nilai Murni Di Dalam KBSM : Falsafah Pendidikan Negara, pada Seminar Nilai-nilai Murni Merentas Kurikulum, Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) , di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, tahun 1988, telah mengambil pandangan E.F Schumacer yang menjelaskan tentang nilai (dalam, Small is beautiful, hal. 83) iaitu :

“ The essence of education … is the transmission of values, but values do not help us to pick our way through life unless they have became our own, a part so to say, of our mental wake up. “

Manakala Hanna Holborn Gray, Universiti Chicago (PPK, Fail Reformasi, 1990, hal. 10) menyokong bahawa nilai murni sangat penting diterapkan melalui pendidikan untuk menghasilkan manusia yang baik dan mulia. Beliau menyatakan :
“ To think about the aims of education is to think of what kind of person, what kind of human competence, what kind of goals might be most desirable for the sosial order and the quality of civilized existence. “

Oleh itu, hubungan nilai dan sistem pendidikan adalah sangat rapat. Selaras dengan hasrat Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, semua guru di sekolah rendah dan sekolah menengah diminta mengajar, menyisip atau memasukkan nilai-nilai murni melalui Pendidikan Islam untuk pelajar-pelajar Islam dan Pendidikan Moral untuk pelajar-pelajar bukan Islam. Langkah ini telah dilaksanakan di peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) tahun 1982, di sekolah percubaan dan tahun 1983 di semua sekolah rendah di Malaysia. Di peringkat sekolah menengah, penerapan nilai-nilai murni telah dilaksanakan ketika penggubalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988, di sekolah percubaan dan sepenuhnya pada tahun 1989 di seluruh Malaysia, yang pada waktu itu persoalan penerapan nilai-nilai murni lebih menonjol dan ketara. Untuk menjayakan cita-cita ini, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk melaksanakan penerapan nilai-nilai murni secara komprehensif. Strategi yang diambil ialah dengan cara menerapkan nilai-nilai murni merentasi kurikulum. Dalam kata lain, nilai-nilai murni disisip melalui semua mata pelajaran yang diajar dan diamalkan melalui kegiatan kokurikulum di sekolah.

Kementerian Pendidikan juga memutuskan untuk menggunakan strategi bersepadu di peringkat sekolah menengah dengan memastikan supaya semua mata pelajaran yang diajar tidak terpisah antara satu sama lain. Unsur utama yang digunakan untuk kesepaduan ini ialah melalui penerapan unsur nilai-nilai murni. Ini bermakna semua guru dikehendaki menyemai dan membangunkan kesedaran terhadap nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran yang diajar, bermula tahun 1989 apabila KBSM diperkenalkan.



Situasi kemerosotan dan keruntuhan moral dan sahsiah pelajar-pelajar di sekolah amat membimbangkan, kerana ada pihak yang berpendapat masalah disiplin dan keruntuhan moral pelajar-pelajar sebahagiannya dipertanggungjawabkan di bahu guru-guru. Sekolah dianggap bukan sahaja tempat pelajar memperolehi ilmu secara rasmi, tetapi juga sebagai tempat untuk membentuk disiplin dan sahsiah pelajar-pelajar. Memang tidak dinafikan terdapat banyak cara untuk membentuk disiplin dan sahsiah pelajar-pelajar. Oleh sebab sinonimnya sekolah yang diterjemahkan sebagai satu institusi yang mencurahkan ilmu secara berkesan dan berterusan, maka disiplin dan sahsiah pelajar-pelajar juga diharap dapat dibentuk melalui proses pengajaran guru-guru di dalam kelas. Dalam kata lain, sekolah, pihak pentadbir, dan guru-guru harus lebih bertenaga dan bersedia untuk memenuhi tuntutan-tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan ke arah menjayakan reformasi dan Falsafah Pendidikan Negara. (PPK, Fail Reformasi, 25.6.1990).

Satu aspek yang amat menarik di sini ialah, bagaimana disiplin dan sahsiah pelajar dapat dibentuk melalui pengajaran dan penerapan nilai-nilai murni di sekolah. Pengajaran dan penerapan nilai-nilai murni ini sebenarnya merupakan aspek yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, malah ia perlu diajar, diterap dan disisipkan dalam pengajaran semua mata pelajaran melalui kurikulum bersepadu KBSR yang diperkenalkan secara menyeluruh pada tahun 1983 dan KBSM pada tahun 1989. Namun demikian, melihatkan aliran pendidikan sekarang yang lebih mementingkan kualiti dan kuantiti pencapaian peperiksaan dan lebih menjurus kepada peperiksaan, maka sudah pasti andaian dapat dibuat bahawa penekanan terhadap nilai-nilai murni ini mungkin dikesampingkan. Jika perkara ini benar-benar berlaku maka guru-guru gagal memenuhi hasrat dan cita-cita besar Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996 dan pelajar-pelajar hanya sekadar ke sekolah untuk lulus peperiksaan. Malahan guru-guru juga gagal memenuhi peranan pendidikan yang sepatutnya ditumpukan kepada pembentukan keperibadian insan, selaras dengan pembangunan kemanusiaan.

Oleh itu, perhatian yang wajar perlu diberikan dalam proses pengajaran guru-guru kerana keberkesanan organisasi sekolah secara amnya, dan guru-guru secara khususnya, dalam melaksanakan program penerapan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah boleh membantu meningkatkan sahsiah dan disiplin serta jati diri demi kejayaan pelajar-pelajar yang menjadi harapan negara pada masa hadapan. Keberkesanan dan kejayaan tersebut berkait rapat dengan matlamat dan objektif organisasi sekolah dan guru-guru yang terlibat dalam melaksanakan penerapan nilai-nilai murni sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, (Kementerian Pendidikan, 1999).

Disebabkan oleh perkara-perkara yang melibatkan pengabaian unsur-unsur nilai begitu serius, kajian ini cuba melihat pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran guru di bilik darjah secara dekat. Penerapan nilai-nilai murni tersebut akan dilihat dalam proses pengajaran mata pelajaran Sejarah di dalam bilik darjah. Sementara pelaksanaan dan penilaian terhadap nilai-nilai murni tersebut pula adalah lebih berhubung kait dengan kejayaan pengajaran guru-guru dalam menerapkan nilai-nilai murni semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan. Pengajaran guru memberi kesan kepada pencapaian dan matlamat Kementerian Pendidikan yang menegaskan agar nilai-nilai murni dapat diterapkan kepada pelajar untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, yang bertujuan untuk melahirkan insan, masyarakat dan warganegara yang baik (Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979).

0 comments: